ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memotong pokok tumbang di Jalan Bolong Baru, Kampung Bolong, di Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


LELAKI nyaris dihempap pokok yang tiba-tiba tumbang di hadapannya ketika sedang memandu di Jalan Bolong Baru, Kampung Bolong, Tuaran, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, lebih 10 kenderaan terkandas hampir sejam sehingga sisa pokok tumbang yang menutupi jalan dua hala berkenaan selesai dibersihkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pemandu, Kamarul Saitoh, 43, berkata, dia bernasib baik sempat menekan brek sebelum pokok terbabit menimpa kenderaannya.

"Ketika itu saya dalam perjalanan pulang dari Kota Kinabalu selepas habis bekerja. Keadaan ketika itu hujan renyai-renyai dan sebaik hampir tiba di rumah, tiba-tiba pokok tumbang di hadapan saya dengan jarak tidak sampai satu meter.

"Mujur, saya sudah melihatnya dari jauh dan sempat memperlahankan kenderaan sebelum menekan brek," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya yang bekerja sebagai pembantu pengurusan pejabat, kejadian seperti itu adalah kali kedua dialaminya ketika memandu selepas kejadian pertama tahun lalu.

Sementara itu, Pegawai APM Tuaran, Paulina Francis berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu, sepasukan anggota APM diketuai Ketua Skuad, Asmah Sapai ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, skuad mendapati sebatang pokok acasia berketinggian kira-kira 15 meter tumbang menutupi permukaan jalan raya.

"APM menggunakan pemotong kayu dan parang untuk membersihkan pokok tumbang berkenaan termasuk satu kes lagi di Kampung Simpangan, Tuaran sebelum menamatkan operasi pada 6.45 petang," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:50 PM