Helmy dan isterinya, Shanizarina didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


SUAMI isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang milik Yayasan Budi Penyayang melebihi RM2 juta, lapan tahun lalu.

Helmy Abdul Halim, 43, dan isterinya, Shanizarina Shamsuddin, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Shanizarina sebagai eksekutif kanan pentadbiran dan kewangan yang diamanahkan dengan wang yayasan itu melakukan pecah amanah membabitkan jumlah RM1,085,296 dengan cara menyalahgunakan harta itu untuk kegunaan peribadi.

Selain itu, tertuduh juga memasukkan wang ke dalam akaun suaminya, Helmy yang bukan kakitangan yayasan berkenaan.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Helmy turut didakwa atas empat pertuduhan bersubahat dengan Shanizarina melakukan pecah amanah terhadap wang Yayasan Budi Penyayang berjumlah RM972,936.35.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 14 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Yayasan Budi Penyayang, Tingkat 3, Wisma Equine, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, antara April 2010 dan November 2013.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman menawarkan jaminan RM100,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Azimah Che Mat memohon jaminan rendah atas alasan perlu menanggung lima orang anak selain isterinya sudah tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan Helmy diikat jamin RM32,000 dan Shahnizarina RM64,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, mahkamah mengarahkan kedua-duanya menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 1:56 PM