DUA nelayan selamat selepas sejam bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak sebelum dihanyutkan ombak di muara Sungai Bolong, Tuaran. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


DUA nelayan berdepan detik cemas selama kira-kira sejam apabila bot dinaiki mereka kehabisan minyak sebelum dihanyutkan ombak di muara Sungai Bolong, Tuaran, sebelum terpisah dengan bot nelayan lain di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.40 petang itu, dua nelayan terbabit bagaimanapun terselamat apabila bot yang dinaiki dua rakan lain berjaya mengesan mereka selepas dihubungi mangsa menggunakan telefon bimbit.

Rakan mangsa, Matteri Masrin, 41, berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada mangsa mengatakan mereka memerlukan bantuan selepas dibawa arus ombak sebelum talian terputus.

"Saya cuba menghubungi mereka semula, namun gagal sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan.

"Mujur, dua nelayan itu ditemui dalam keadaan selamat sejam kemudian oleh dua lagi rakannya yang menaiki bot berlainan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Matteri, apa yang membimbangkan, cuaca yang tenang sebelum kejadian itu tiba-tiba berubah apabila angin kencang dan ombak kuat melanda.

"Mereka (mangsa) sebenarnya dalam perjalanan pulang tetapi satu bot kehabisan minyak selepas beberapa kali melawan arus ombak.

"Kami sangat bersyukur mereka ditemui selamat dan saya difahamkan bot itu kemudiannya ditarik menggunakan bot rakan di sepanjang tepi sungai," katanya.

Sementara itu, pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis berkata sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota APM bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mengesan mangsa.

"Bagaimanapun, sebaik tiba, kami dimaklumkan mangsa sudah ditemui pada 6.54 petang dan pemeriksaan mendapati mereka dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 2:03 PM