PAPAN tanda logo 1 Malaysia yang sedang diturunkan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Plaza Angsana, Ampangan, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Khairul Najib Asarulah Khan
news@nstp.com.my


LOGO 1Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Negeri Sembilan di Plaza Angsana, Ampangan, Seremban, diturunkan pagi ini.

Tinjauan NSTP mendapati, kerja penurunan logo terbabit menggunakan dua kren bermula 11 pagi sebelum berakhir sejam kemudian.

Logo 1Malaysia adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2009.

Kerajaan PH di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan akan menukar gagasan 1Malaysia kepada slogan yang baharu.

Di Negeri Sembilan, hanya terdapat satu logo gergasi 1Malaysia dipasang di UTC pertama di negeri ini yang beroperasi selepas bangunan yang diubah suai dengan kos RM25 juta itu dirasmikan Najib pada 29 November 2017.

Ia menempatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Tabung Haji, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) serta kemudahan klinik UTC dan klinik gigi.

Selain itu, UTC yang bertujuan memudahkan urusan masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan awam di satu lokasi itu turut mempunyai 16 lot perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 2:50 PM