KEADAAN pemandu van yang terlibat dalan kemalangan melibatkan duah van di Simpang 3,Parit Buntar. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


PEMANDU van kilang terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit apabila tersepit di tempat duduk pemandu selepas kenderaan dipandu merempuh belakang van kilang lain di Simpang 3, Parit Buntar, awal pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar Mohd Saufi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.56 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati terdapat kemalangan membabitkan dua van kilang di mana salah seorang pemandunya tersepit di tempat duduk depan.


KEMALANGAN melibatkan duah van di Simpang 3,Parit Buntar. FOTO Ihsan Pembaca

“Pihak bomba segera menggunakan kit keselamatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Sejurus berjaya dikeluarkan, mangsa, 30-an, yang cedera parah diserahkan kepada petugas ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan, kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan membawa pekerja dari sekitar daerah Kerian ke kilang di Pulau Pinang.

Beberapa pekerja kilang turut cedera dalam kemalangan itu, dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi berkata, polis masih menyiasat kemalangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 3:14 PM