RAMLI selepas diselamatkan dari terusan. FOTO Ihsan Bomba
Nur Syazwana Mansor
cnews@nstp.com.my


LELAKI warga emas berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam arus deras di sebuah terusan berhampiran rumahnya hampir lima jam ketika hujan lebat di Kampung Kemelong, Sik, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Sik, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Faizol Izwan Hang Tuah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.43 malam.

Katanya, laporan kehilangan mangsa dibuat oleh adiknya, Normah Zainal, 60, apabila menyedari abangnya, Ramli Zainal, 62, tidak pulang ke rumah selepas keluar ke bendang di belakang rumah mereka, jam 7 malam.

Faizol berkata, sepasukan bomba tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian dan melakukan operasi pencarian.

"Kita turut dibantu lima penduduk kampung di mana operasi mencari dan menyelamat dipecahkan kepada dua kumpulan.

"Walaupun hujan lebat operasi mencarinya tetap diteruskan sehingga pihak kami menemui mangsa sedang berpaut pada tebing terusan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya dalam keadaan lemah pada jam 12.29 tengah malam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan sedar, namun lemah manakala paras air ketika itu sudah mencecah paras tengkuknya.

"Mangsa yang tinggal bersama adiknya dan tidak pernah berkahwin turut tidak mengingati bagaimana kejadian itu berlaku.

"Sebaik diselamatkan mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sik sebelum dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 3:19 PM