MAHATHIR ketika hadir pada di Menara Yayasan Selangor, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Wartawan NSTP


PENELITIAN mendapati beberapa angka kedudukan prestasi kewangan negara yang diterbitkan sebelum ini adalah palsu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika menjelaskan pendedahan itu berkata, pihaknya terpaksa menjalankan semakan semula terhadap perkara terbabit sebelum mengemukakan unjuran prestasi kedudukan kewangan baharu.

"Saya sedar banyak daripada angka ini adalah palsu, justeru kita kena semak setakat mana ia menepati kebenaran," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH) di Menara Yayasan Selangor, di Petaling Jaya, hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini dilaporkan berkata unjuran pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dengan dipacu sektor swasta sebagai penjana utama ekonomi, membabitkan kadar antara lima hingga 5.5 peratus untuk 2018.

Pada 12 April lalu, Bank Dunia turut menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini kepada 5.4 peratus daripada 5.2 peratus sebelum ini, disokong perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.

Turut dijangkakan adalah negara dalam landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi di antara tahun 2020 dan 2024.

Semakan terbaharu itu, walaupun untuk kali pertama dibuat pada tahun ini, adalah rentetan daripada tiga semakan menaik pada 2017.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir menepis kegusaran segelintir pihak, khususnya pemerhati ekonomi bahawa penarafan Malaysia bakal merosot susulan keputusan meletakkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar berkuatkuasa 1 Jun ini.

"Kita tidak perlu risau mengenai kemerosotan penarafan negara kerana perbelanjaan Malaysia berupaya dikurangkan dan pelbagai langkah diambil untuk menangani pembaziran.

"Pada masa sama, kita akan meningkatkan pendapatan daripada petroleum kerana bajet (sebelum ini) dibuat ketika harga minyak mentah dunia berkadar AS$52, berbanding AS$70 sekarang.

"Oleh itu, kita unjurkan lonjakan kutipan pendapatan daripada petroleum," katanya.

Menyentuh dasar penyaluran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Dr Mahathir menjelaskan ia akan terus diberikan kepada individu yang layak.

Bagaimanapun, katanya, kajian bersesuaian akan dilaksana untuk meneliti kumpulan penerima susulan wujud kes sebelum ini bahawa ia diberikan kepada individu yang tidak layak.

"Kadang kala ada orang yang tidak sepatutnya terima BR1M, tapi dapat juga justeru kita akan kaji semula.

"BR1M juga tidak boleh dianggap sebagai rasuah, selain dianggap sebagai kewajipan untuk menyokong kerajaan, sebaliknya ia wajar dilihat sebagai pemangkin menyelesaikan masalah sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 4:37 PM