MUKHRIZ (tiga dari kiri) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad (tiga dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Anjuran Pakatan Harapan Kubang Pasu di INSPIN, hari ini. FOTO Amran Hamid
Petah Wazzan Iskandar
wazzan@nstp.com.my


SEPULUH Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah dijadual mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Selasa ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya sudah mempunyai senarai nama berkelayakan bagi mengisi 10 portfolio selain jawatan Speaker dan Timbalannya.

Beliau berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), minggu lalu, PKR memenangi lapan kerusi, manakala tiga parti lain yang bertanding di bawah logo PKR iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) (5); Parti Amanah Negara (AMANAH) (3) dan DAP (2).

“Isnin ini, setiap calon dipilih untuk menjadi Exco akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk diperkenalkan.

“Daripada 10 calon, empat daripadanya mewakili PKR, AMANAH (3), PPBM (2) dan DAP pula satu manakala Speaker daripada PKR dan timbalannya daripada PPBM.

“Kami jangkakan istiadat mengangkat sumpah akan berlangsung pada Selasa di Istana Anak Bukit manakala keesokkannya (Rabu), mesyuarat Exco pertama dapat dilakukan di Wisma Darul Aman,” katanya pada majlis berbuka puasa anjuran Pakatan Harapan (PH) Kubang Pasu di Institut Pengurusan Dan Integriti Negeri (INSPIN), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan barisan Exco Kedah.

Jumaat lalu, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, dilantik menjadi Menteri Besar Kedah ke 13, selepas PH memenangi PRU-14.

Mukhriz yang juga Pengerusi PH Kedah mengangkat sumpah taat setia jawatan itu di hadapan Sultan Sallehuddin sebelum menandatangani watikah pelantikan.

Ini kali kedua Mukhriz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah dengan kali pertama bersama Barisan Nasional (BN) selepas parti itu merampas penguasaan negeri daripada PAS Kedah melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013.

Pelantikan Mukhriz itu menutup spekulasi mengenai calon Menteri Besar Kedah, selain status PH yang diuar-uar berisiko dicabar sekiranya PAS dan BN bergabung di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 10:01 PM