MOHAMAD Aman maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya melanggar motosikal di hadapan dalam kemalangan di Jalan Machang-Pangkal Meleret dekat Kampung Wakaf Bata, Machang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Siti Nadzirah Che Mud
cnews@nstp.com.my


PELAJAR lelaki tingkatan tiga maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Machang-Pangkal Meleret dekat Kampung Wakaf Bata, Machang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Dzulkifli Ab Ghani, berkata nahas berlaku pada 3 petang itu menyebabkan mangsa, Mohamad Aman Abdullah, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Meleret menuju ke bandar Machang merempuh sebuah motosikal di hadapannya.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dilanggar sebuah kereta di laluan bertentangan yang dipandu wanita berusia 48 tahun.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 12:25 AM