MAYAT Muhammad Al-Azim Azmi, 22, yang ditemui di dalam Sungai Korok berhampiran Kampung Kepala Batu dibungkus dengan plastik hitam sebaik dibawa naik ke tebing. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT Muhammad Al-Azim Azmi, 22, yang ditemui di dalam Sungai Korok berhampiran Kampung Kepala Batu dibungkus dengan plastik hitam sebaik dibawa naik ke tebing. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


MAYAT lelaki lengkap berpakaian ditemui terapung di Sungai Korok berhampiran Kampung Kepala Batu, Jitra, semalam.

Mangsa, Muhammad Al-Azim Azmi, 22, berasal dari Kampung Alor Peir, Mukim Gunung, Alor Setar, ditemui orang awam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan mayat itu.

Beliau berkata, empat anggotanya dari Balai Polis Jitra tiba di lokasi dan membuat pemeriksaan terhadap mayat berkenaan pada 6.30 petang.

"Hasil pemeriksaan pada mayat berkenaan mendapati tiada sebarang kecederaan dan sebarang unsur jenayah.

"Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat," katanya.

Mohd Ismail berkata, mangsa yang berkerja di Kilang DXN Gano, Jalan Bukit Wang, tinggal bersama datuknya berhampiran tempat kerjanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa balik ke rumah keluarganya pada 15 Mei lalu dan dipercayai bertolak pulang ke rumah datuknya pada 8.30 malam.

"Bagaimanapun, ibunya hanya dimaklumkan oleh sepupunya yang dia ternampak kereta mangsa pada 10 pagi esoknya (Rabu lalu) di tepi jalan berhampiran Sungai Korok, namun ibu mangsa tidak mengesyaki apa-apa kerana kereta yang digunakan anaknya kerap mengalami kerosakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan jenazah mangsa kemudian diserahkan kepada keluarganya selepas bedah siasat selesai dilakukan.

Mohd Ismail berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan pada 10 malam hingga 10.40 malam tadi oleh Pegawai Perubatan Dr Ayuni Shuhada Kassim mendapati punca kematian akibat lemas dalam air dan tiada unsur jenayah berlaku.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.34 petang dan tiba di lokasi pada 6.45 petang semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Safirun Sudin bersama enam anggota dan sebuah jentera serta Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejar ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi didapati mayat mangsa masih terapung di tepi sungai berkenaan dan usaha menaikkan mayat berkenaan berjaya dilakukan tidak lama kemudian.

"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 11:02 AM