FOTO Hiasan
Norrasyidah Arshad
norrasyidah@nstp.com.my


KOPERAL yang baharu selesai bertugas maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Persiaran Masjid berhampiran Hotel Concorde, Shah Alam, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.50 pagi itu, Koperal Djamaluddin Nizam, 46, memandu Proton Exora miliknya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 20, dekat sini.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sebelum kemalangan, mangsa baharu selesai bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di Seksyen 9.

Katanya, dalam perjalanan pulang, kereta dipandu mangsa melanggar pokok di belah kiri jalan dipercayai terbabas sendiri.

"Akibat rempuhan itu, pokok terbabit menimpa bahagian hadapan kenderaan mangsa dan kereta terbakar.

"Mangsa melecur seluruh badan, manakala kenderaannya turut rosak keseluruhan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Baharudin berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan selepas solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 1:53 PM