Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@nstp.com.my

TUN Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan tindakan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap mana-mana individu yang mengkritiknya.

Perdana Menteri sudah memaklumkan perkara itu kepada PDRM sebelum ini.

“Saya tidak bersetuju tindakan diambil kepada mereka yang mengkritik saya.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak polis berkenaan ini. Undang-undang ini akan dikaji apabila Parlimen bersidang kelak,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya hari ini.

Beliau turut memuat naik pautan laporan media berhubung seorang lelaki yang ditahan di Langkawi berhubung kenyataan penghinaan yang keterlaluan di laman Facebook terhadap Perdana Menteri dan Islam.

Menurut laman Facebook Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi,penahanan suspek dibuat susulan laporan polis dibuat beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Catatan itu menyebut suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Pada Oktober tahun lalu, seorang bekas pensyarah berusia 58 tahun ditahan kerana disyaki menghina dan mengubah suai gambar Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam media sosial.

Suspek berusia 58 tahun itu ditahan di kediamannya di Jalan Dang Wangi di sini dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Media sebelum ini turut melaporkan polis Johor menahan seorang lelaki di Kampung Tunku, Petaling Jaya tengah hari tadi kerana disyaki menghantar mesej bergambar bersifat jelik terhadap Najib pada Julai 2016.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau keua-duanya sekali.

Sepanjang 2016, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima dan menyiasat 62 aduan berkaitan penyalahgunaan media sosial.

Daripada jumlah itu, empat kes berjaya didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 5:53 PM