HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH
HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH
Sukhairi Thani


PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah merakam masa sepusingan terpantas 1 minit 33.435 saat pada sesi latihan bebas kedua untuk berada di tangga ke-19 bagi rangkuman hari pertama  Grand Prix (GP) Perancis, sebentar tadi.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu memperbaiki catatannya pada sesi latihan bebas pertama, 1'34.600s manakala Andrea Dovizioso yang mewakili Ducati, mengungguli carta rangkuman bagi kedua-dua sesi yang berlangsung di litar Le Mans.

“Kami berada di landasan yang baik untuk hari pertama ini,” kata Hafizh. “Tahap keyakinan saya juga sudah kembali selepas terjatuh di Texas dan fizikal juga sudah semakin baik seperti pada awal musim ini.

“Sekarang, saya perlu mencari lebih keyakinan terhadap penggunaan brek kerana saya sentiasa mengalami perasaan kurang meyakinkan terutama di selekoh pertama dan saya tidak tahu mengapa.

“Namun, dari semasa ke semasa kami semakin hampir dan tidak terlalu jauh daripada pelumba muka baharu dan saya hanya memerlukan lebih masa tunggangan untuk lebih memahami jentera dan mengubah corak tunggangan.”

Marc Marquez dari Repsol Honda Team mencatat masa kedua terpantas dengan catatan 1'32.104s manakala Valentino Rossi ketiga, 1'32.179s.

Rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco yang muncul naib juara di GP Argentina dan Sepanyol berada di tangga kelima terpantas dengan catatan 1'32.279s.

Hafizh kini berada di tangga ke-16 dalam carta pelumba MotoGP dengan sembilan mata keseluruhan, ketinggalan 61 mata di belakang pendahulu ketika ini Marquez.

Zarco yang beraksi di laman sendiri kali ini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 58 mata manakala Maverick Vinales ketiga, 50 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 10:59 PM