FAIRUL Azirawati (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan barangan dapur dan wang tunai kepada Noor Rinayanti Ismail (dua dari kanan) dalam Program Infaq Ramadan Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam. FOTO Muhammad Shalaby Shahbuddin
Muhammad Shalaby Shahbuddin

SEBANYAK 154 rumah golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal serta 14 pusat tahfiz sekitar Pulau Pinang menerima sumbangan di bawah Program Infaq Ramadan anjuran Persatuan Gerakan Amal Bersama (GRAB) di Bukit Mertajam, semalam.

Program tahunan dianjurkan sejak 2016 itu turut membabitkan kerjasama lima badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Budak Penang Crew (BPC), Malaysian Relief Agency (MRA), Wild Truckers Utara (WTU), Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Utara Malaysia (D' ikhlas) dan Northern Bezza Crew v2.0.

Pengerusi GRAB, Fairul Azirawati Mohd Pilus berkata, program itu bertujuan membantu meringankan beban golongan terbabit pada Ramadan ini.

Beliau berkata, kutipan dana bagi mendapatkan sumbangan barangan dapur dilakukan sejak dua bulan lalu melalui hebahan di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp selain turut membuka kaunter infaq di Mydin Mall Bukit Mertajam selama tiga hari.

“Pelbagai barangan dapur berjaya diperoleh seperti beras, gula, minyak masak, tepung, susu, sardin, serbuk teh, telur, bihun, kicap, sos, kordial, kurma, tamar, koko, telekung dan banyak lagi.

“Sumbangan turut diperoleh daripada Syarikat Abdul Ghaffar (SAG) dan Kembara Kitchen Selangor.

“Jadi, selain menyalurkan barangan dapur, wang tunai turut disumbangkan kepada setiap keluarga dan pusat tahfiz,” katanya.

Fairul Azirawati berkata, program agihan sumbangan berkenaan dilakukan seawal 8 pagi dan berakhir 6.30 petang ke semua lokasi terpilih.

Beliau berkata, antara pusat tahfiz menerima sumbangan terbabit adalah Maahad Tahfiz Sirajul Quran, Seberang Jaya; Pusat Tahfiz Baitul Quran, Tasek Gelugor dan Maahad Tahfiz Faqiah Da'miah, Permatang Pauh.

“Kami berharap program seumpama ini dapat mendidik dan menjadi penggerak kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan buat golongan di luar sana yang begitu memerlukan bantuan.

“Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank ( 557344065092) di atas nama Persatuan Gerakan Amal Bersama (GRAB) dengan menandakan **Ref #infaq bagi meringankan golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 1:30 AM