n Mohd Nazllie Zainul


Kota Kinabalu: Rumpai laut atau dikenali sebagai latok antara juadah makanan popular di bazar Ramadan sekitar bandar raya ini.

Latok yang juga dikenali sebagai anggur laut kerana menyerupai anggur sesuai dijadikan ulam untuk dinikmati bersama nasi panas.

Ia juga sedap dimakan begitu saja atau dihidangkan dengan campuran perahan limau, bawang serta cili sebagai pembuka selera.

Tinjauan wartawan di bazar Ramadan di Asia City di sini mendapati latok yang juga makanan tradisi masyarakat Bajau dan Suluk antara juadah berbuka puasa yang sering menjadi pilihan pengunjung.

Peniaga bazar Ramadan, Dg Sofielah Ag Lamin, 31, berkata, latok antara juadah yang dijual sepanjang Ramadan tahun ini.

Katanya, ia bukan saja popular dalam kalangan orang tempatan, malah sering menjadi pilihan pengunjung luar yang mahu menikmati makanan tempatan Sabah.

LATOK yang dijual RM3 setiap sudu besar.

“Kami jual latok pada harga RM3 setiap sudu besar. Sepanjang berniaga di bazar Ramadan, latok pastinya juadah yang habis awal dijual berbanding makanan lain.

“Selain bulan Ramadan, pelanggan yang mahu menikmati latok boleh datang ke premis kami di Restoran Sempelang di Asia City,” katanya berniaga di bazar Ramadan sejak 16 tahun lalu.

Bazar Ramadan Asia City turut menawarkan pelbagai juadah istimewa termasuk makanan tradisi masyarakat berbilang kaum di Sabah serta antara bazar paling menjadi tumpuan warga bandar raya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 6:56 AM