Shaarani Ismail; Mohd Hafizee Mohd Arop dan Zahratulhayat Mat Arif


SERAMAI 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Mereka yang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu adalah lima ADUN dari DAP, tiga Parti Amanah Negara (PAN) termasuk dan dua PKR.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Mendahului senarai mengangkat sumpah jawatan adalah ADUN Manjoi yang juga Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi; diikuti ADUN Tronoh yang juga Penolong Setiausaha DAP negeri, Yong Choo Kiong dan ADUN Kuala Kurau dari PKR, Abdul Yunus Jamhari.

Ia diikuti bekas Menteri Besar yang juga ADUN Sungai Rapat dan Timbalan Pengerusi PAN Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan ADUN Tebing Tinggi dari DAP, Dr Abdul Aziz Bari.

Turut dilantik, A Sivanesan (DAP-Sungkai), Wong May Yin (DAP-Pantai Remis) yang juga satu-satunya EXCO Wanita, Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim (PAN-Titi Serong) dan Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji).


AHMAD Faizal (tengah) bersama barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (EXCO) pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah EXCO Kerajaan Negeri Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. -Foto ABDULLAH YUSOF

Lapan daripada yang dilantik adalah muka baharu manakala Mohamad Nizar adalah bekas Menteri Besar ketika Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri pada 2008, manakala Sivanesan adalah bekas EXCO kerajaan negeri ketika itu.

Portfolio kesemua EXCO bagaimanapun hanya akan diumumkan kemudian.

Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut hadir pada majlis itu.

DAP paling ramai dilantik sebagai EXCO kerana parti itu memenangi 18 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) manakala PAN dan PKR masing-masing enam dan empat kerusi.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) hanya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang yang diwakili Ahmad Faizal, yang kemudiannya dilantik Menteri Besar selepas berjaya mendapatkan sokongan dua ADUN Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 7:30 PM