DERETAN 11 bangunan rumah kedai masih berasap dan musnah dalam kebakaran di Pekan Pokok Sena, awal pagi tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com


PEMILIK kedai insuran meraung selepas mendapati anjing kesayangannya rentung dalam kebakaran yang membabitkan 11 premis rumah kedai di Pekan Pokok Sena berhampiran Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad, pagi tadi.

Selain anjing, peti besi yang mengandungi wang tunai miliknya juga dipercayai musnah dalam kebakaran yang dipercayai berlaku kira-kira 4 pagi tadi.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Hui, 64, berkata, sebelum itu dia yang menetap di Alor Setar menerima panggilan pada 2 pagi daripada rakannya memberitahu alat penggera di premisnya berbunyi menyebabkan dia pergi ke kedai itu untuk menutup bunyi ‘alarm’ berkenaan.

Katanya, dia kemudian pulang semula ke Alor Setar dan bercadang untuk pergi semula ke kedai berkenaan pada 5 pagi tadi, namun terkejut apabila sekali lagi menerima panggilan daripada rakannya memberitahu yang premisnya terbakar.

"Saya terus bergegas ke sini dan sebaik tiba, didapati deretan kedai di sini turut musnah dalam kebakaran dan saya tidak sempat menyelamatkan barangan lain.

"Selepas api dipadamkan oleh pasukan bomba, saya dapati anjing peliharaan yang dibela sejak kecil ditemui rentung berhampiran peti besi yang mengandungi sejumlah besar wang tunai menyebabkan saya sedih," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi tadi.


Pemilik kedai insuran yang hanya dikenali sebagai Ah Hui, 64, melihat peti besi yang mengandungi wang tunai yang terbakar dalam kebakaran membabitkan 10 deretan rumah kedai di Pekan Pokok Sena, pagi tadi. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Difahamkan, ketika kejadian kebanyakan penghuni di premis itu sempat keluar menyelamatkan diri setelah menyedari bahang panas dan deretan kedai yang terbakar.

Sementara itu, Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd Sham Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan 4.09 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang tiba di lokasi 4.20 pagi.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian didapati api sedang marak dan operasi bermula 4.21 pagi dan turut mendapat bantuan daripada anggota BBP Alor Setar.

"Jumlah anggota yang terbabit dalam operasi ini adalah seramai 30 anggota dari dua balai dan turut dibantu 70 anggota dari 11 Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Struktur kayu di bahagian atas premis dan konkrit di bahagian bawah menyebabkan api cepat merebak dan api dipercayai berpunca dari satu daripada premis bangunan yang terbakar itu.

"Turut terbakar, tiga motosikal iaitu Suzuki RC dan dua Honda 125, namun punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi tadi.

Kebakaran itu mengakibatkan kerosakan hingga 95 peratus kepada kedai basikal, kedai plastik, kedai insuran, kedai elektrik, klinik gigi dan dua premis kosong.

Dua kediaman rosak 70 dan 30 peratus, manakala sebuah lagi kedai barangan elektrik rosak 20 peratus.

Turut serta dalam operasi itu, Komander Operasi negeri, Penguasa Bomba Zamani Ismail dan Ketua BBP Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Nurul Iman Mohd Rawi.

Mohd Sham berkata, setakat ini kerja-kerja pemadaman masih dijalankan dan tiada kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 11:09 AM