SERAMAI 19 nelayan warga Vietnam bukan saja berdepan hukuman kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara, tetapi juga dikenakan tindakan undang-undang kerana cuba merasuah pihak berkuasa.

Ketika ditahan selepas cubaan melarikan diri gagal, dua tekong daripada dua bot yang ditahan berusia 49 dan 51 tahun cuba merasuah pegawai Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) sebanyak RM1,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap mereka.

Namun, tawaran nelayan terbabit tidak dilayan apabila kedua-dua bot bersama nelayan terbabit dibawa ke APMM Daerah Maritim Kuala Terengganu di Pulau Kambing untuk siasatan lanjut.

Pengarah Maritum negeri, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, dua bot berkenaan ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding di kedudukan 73 dan 77 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada 7.16 dan 8 pagi semalam.

“Enam daripada nelayan terbabit memiliki dokumen sah, manakala yang lain termasuk tiga daripada mereka di bawah umur berusia antara 14 hingga 54 tahun tidak memiliki sebarang dokumen.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 14 (3) akta yang sama.

“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen sah, dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, tangkapan ikan menggunakan kaedah tunda ganding diharamkan di negara ini, dan kebanyakan nelayan asing yang menceroboh perairan negara menggunakan kaedah itu bagi mencuri hasil laut negara.

“Menerusi tangkapan semalam, kita merampas dua tan ikan pelbagai jenis, 500 kilogram ikan baja serta 3,000 liter diesel dan peralatan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya.

Katanya, kerjasama orang ramai khususnya nelayan tempatan dan pekerja pelantar diperlukan untuk melaporkan maklumat dan salah laku bagi menjaga keselamatan perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 4:37 PM
PENGARAH Maritim negeri Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli memeriksa nelayan vietnam yang ditahan kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara untuk dibawa ke mahkamah dan direman. FOTO Rozainah Zakaria