Abdul Rahemang Taiming


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 1,086 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM44,820 melalui kawasan perairan Kampung Titingan, Tawau, malam tadi.

Dalam kejadian 11.12 malam itu, bot ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau mengesan sebuah bot laju tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan menuju ke penempatan atas air berkenaan.

Ketua Zon Maritim, Kapten Maritim Romli Mustafa berkata, bot laju itu disyaki membawa bekalan rokok dari Sungai Nyamuk, Indonesia dipercayai untuk dipasarkan di daerah ini.

“Sebaik menyedari kehadiran bot Maritim Malaysia, dua suspek dalam bot laju berkenaan memecut laju ke arah perkampungan atas air untuk meloloskan diri.

“Anggota maritim mengejar bot laju terbabit selama lima minit sebelum dapat dipintas dan ditahan. Bagaimanapun tekong bot bersama awak-awak terjun ke laut dan gagal dikesan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Romli berkata, pemeriksaan lanjut menemui 1,086 rokok putih dan kretek pelbagai jenama dan turut dirampas ialah bot laju bersama enjin sangkut 200 kuasa kuda dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM104,820.

“Semua barang rampasan dibawa ke Pangkalan Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata, setakat tahun ini pihaknya membuka 24 kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan di mahkamah membabitkan 30 tangkapan atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 18 kes pertuduhan telah dilakukan di mahkamah membabitkan pelbagai kesalahan antaranya mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyuludupan Migran (Atipsom) 2007, selain Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 1:43 PM
ROMLI menunjukkan sebahagian rokok seludup pelbagai jenama yang dirampas di kawasan perairan Kampung Titingan, Tawau, malam tadi. FOTO/ABDUL RAHEMANG TAIMING