Mohd Rizal Abdullah


BELUM hilang penat berniaga, suami isteri warga emas dikejutkan dengan kejadian rumah mereka dipecah masuk di Kampung Lumut Baru, Miri, petang kelmarin.

Kejadian disedari pada 5 petang selepas pasangan masing-masing berusia 60 tahun itu pulang ke rumah dari menjual sayur di pasar Bekenu.

Menurut sumber, setibanya ke rumah, pasangan terbabit terkejut apabila mendapati cermin tingkap rumahnya dalam keadaan terbuka.

"Pasangan terbabit terkejut apabila mendapati ruang tamu dan bilik mereka dalam keadaan berselerak akibat digeledah.

"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang berharga termasuk selaras senapang patah milik warga emas lelaki terbabit lesap," katanya.

Katanya, senapang berkenaan dimiliki secara sah dan ia digunakan untuk tujuan berkebun

"Pemeriksaan lanjut mendapati, suspek menceroboh dengan menggunakan tangga kayu di luar rumah.

"Suspek kemudiannya membuka beberapa kepingan tingkap lalu, masuk ke dalam rumah," katanya.

Katanya, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bekenu berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 2:17 PM