KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika sidang media di Putrajaya, turut kelihatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Anwar Patho Rohman; Mohd Husni Mohd Noor dan Teoh Pei Ying


MESYUARAT kali pertama Pasukan Khas Siasatan 1MDB yang diadakan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tertumpu kepada langkah pengesanan aset, membawa balik semua wang hasil aktiviti 1MDB dan tindakan jenayah ke atas pihak terbabit melalui Akta SPRM, Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan diedarkan kepada media di Putrajaya, pasukan yang dilantik oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan menjalankan tugas secara telus, adil dan profesional.

“Mesyuarat seterusnya akan diadakan esok,” katanya.

Kenyataan media itu ditandatangani bersama bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Syukri Abdull; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

Difahamkan, mesyuarat berkenaan bermula jam 9 pagi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri pada sidang media khas mengesahkan bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Bahri Mohammad Zin melapor diri kepadanya, hari ini.

Beliau berkata, Bahri diberikan jawatan lamanya sebagai Pengarah BOK SPRM.

“Sebelum ini, Bahri banyak terbabit dalam siasatan kes SRC International,” katanya.

Menurutnya, sama seperti dirinya, Bahri turut dipangil oleh Perdana Menteri, malah, beliau sendiri yang memintanya untuk kembali ke SPRM.

Bahri sebelum ini pernah memegang jawatan Pengarah BOK sejak 16 Jun 2014 tetapi bersara awal berkuat kuasa 30 Disember 2016 berikutan keengganan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengeluarkan izin mendakwa ke atas suspek kes berkenaan.

Bahri adalah individu yang memainkan peranan utama dalam siasatan kes SRC, bekas anak syarikat 1MDB dan memilih bersara awal walaupun tempoh bertugas masih berbaki dua tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 2:37 PM