MASZLEE (tiga kiri) menerima tugas yang diserahkan oleh Idris (dua kanan) pada majlis serah-terima tugas. FOTO Aswadi Alias
Rohaniza Idris dan Siti A'isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Pendidikan akan mengutamakan penangguhan pembayaran wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk graduan yang berpendapatan bawah RM4,000.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata, ini kerana perkara itu adalah antara 10 janji yang perlu ditunaikan dalam 100 hari.

Tambah beliau, Pakatan Harapan (PH) tidak menyatakan pemansuhan PTPTN sebaliknya memberi pelepasan pembayaran hanya bagi mereka yang berpendapatan bawah RM4,000.

"Kita juga akan berbincang dengan Jabatan Imigresen mengenai sekatan perjalanan bagi peminjam yang disenarai hitamkan ke luar negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas di Kementerian Pendidikan di Putrajaya, hari ini.

Pada majlis itu, bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Idris Jusoh menyerahkan nota serah tugas kepada Dr Maszlee.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 5:36 PM