ZAHID (kiri) bercakap ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn. -Foto ASYRAF HAMZAH
Veena Babulal dan Mohd Nasaruddin Parzi


RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akan memutuskan siapa individu yang akan dipilih sebagai Menteri Besar Perlis.

Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan sudah mengadakan perbincangan dengan baginda di Istana Arau, pagi tadi.

“Kami sudah mengadap Raja Perlis dan tuanku akan membuat keputusan berdasarkan perbincangan yang sudah dilakukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur.

Turut sama beliau dalam pertemuan dengan Raja Perlis siang tadi adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Pagi tadi, kedua-duanya tiba bersama di Istana Arau menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna putih pada jam 11.20 pagi.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya, Datuk Ismail, sebagai calon Menteri Besar baharu.

Bagaimanapun, Timbalannya, Datuk Seri Azlan Man yang juga ADUN Bintong pula mendakwa tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan.

Susulan itu pada Rabu lalu, Raja Perlis memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda dan difahamkan tujuan baginda memanggil adalah bagi mengenali lebih dekat semua wakil rakyat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 8:46 PM