GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Sofyan Rizal Ishak


MEDIA Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu utama di Malaysia mencatatkan jutaan pengguna Internet yang mengikuti liputan berita Media Prima sepanjang Pilihan Raya Umum Malaysia ke-14 (PRU-14).

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali berkata, menurut Google Analytics, portal berita Media Prima termasuk SAYS, MyUndi, Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times merekodkan lebih 25.6 juta pelawat unik dan 296 juta paparan halaman dengan 10 peratus daripada jumlah pelawat unik itu adalah dari luar Malaysia dalam tempoh antara 6 April dan 13 Mei lalu.

“Platform berita atas talian MyUndi dan aplikasi mudah alih PRU14 daripada Media Prima Labs mencatatkan 2.1 juta pelawat unik dengan 13.3 juta paparan halaman pada 9 Mei dan 10 Mei saja.

“MyUndi adalah carian Google teratas untuk hasil carian kata kunci Undi pada musim pilihan raya.

“Liputan video Media Prima untuk PRU-14 pula mencatatkan sebanyak 22.3 juta tontonan di platform Facebook dan YouTube serta melalui perkhidmatan strim video, tonton,” katanya.

Menurutnya, jumlah pengunjung dan tontonan pada sepanjang tempoh pilihan raya itu adalah jauh lebih tinggi berbanding data bulanan kebiasaannya.

“Pencapaian ini tidak mungkin dapat dilakukan tanpa kemahiran dan dedikasi kakitangan Media Prima serta pasukan editorial melalui pelbagai portal dalam talian yang ditawarkan kumpulan,” katanya dalam kenyataan..

Beliau berkata, capaian digital Media Prima yang tinggi sepanjang liputan PRU-14 adalah sejajar dengan misi Media Prima untuk menjadi syarikat kandungan dan perdagangan digital yang utama di Malaysia

“Media Prima kini berada di kedudukan ketiga di Malaysia selepas Google dan Facebook daripada segi jumlah capaian digital dan ini meyakinkan kami dalam mencapai sasaran untuk meningkatkan pendapatan dari sumber digital sebanyak 20 peratus menjelang 2020,” katanya.

“Pengiklan juga kini boleh mendapatkan capaian digital tinggi melalui Media Prima audience+ iaitu produk digital terbaru kami untuk meningkatkan prestasi pengiklanan digital yang mana ia membolehkan mereka meningkatkan prestasi kempen melalui sasaran audiens tepat dalam pelbagai format pengiklanan melalui rangkaian Media Prima,” katanya.

Sementara itu, strategi digital utama Kumpulan juga memberi manfaat kepada The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang memfokuskan usahanya terhadap penerbitan digital.

Menurut Google Analytics, laman web Harian Metro mencatat lebih 8.6 juta pelawat unik bulanan purata untuk tiga bulan pertama pada tahun ini sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai portal berita nombor satu di Malaysia manakala, laman web BH menduduki tempat kedua dengan pelawat unik bulanan purata 6.1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 9:40 PM