LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai sidang media Mohd Shukri, semalam.
Mohd Anwar Patho Rohman; Nurhayati Abllah dan Amir Hisyam Abdul Rashid


TAN Sri Abu Talib Osman menasihatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull supaya ‘berdiam’ dan menumpukan siasatan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Jawatankuasa Siasatan 1MDB itu berkata, ia bagi memastikan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dalam 1MDB tidak terganggu kerana dibimbangi akan menimbulkan prejudis jika Mohd Shukri terus mengeluarkan kenyataan mengenainya.

“Terdapat risiko siasatan kes 1MDB terganggu jika seseorang yang terbabit dalam siasatan membuat kenyataan terbuka kes berkenaan.

“Pandangan peribadi saya lebih baik tidak keluarkan kenyataan umum kerana ia boleh menimbulkan prejudis kepada siasatan dan menjejaskan prosiding mahkamah jika ada.

“Saya fikir lebih baik ‘less talk, more work’ (kurangkan bercakap, lebihkan kerja),” katanya kepada media selepas mesyuarat Jawatankuasa Siasatan 1MDB di Menara Ilham di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Mohd Shukri mendedahkan beliau menghadapi pelbagai tekanan termasuk diugut pihak tertentu yang ada ketika menjalankan siasatan terhadap SRC International iaitu sebuah anak syarikat 1MDB.

Mohd Shukri turut mendakwa beliau dan bekas ketuanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed berjumpa dengan beberapa menteri Kabinet sebelum ini bagi menyakinkan mereka untuk mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Abu Talib berkata, tiada pertindihan tugas dan kuasa di antara jawatankuasa yang dipengerusikannya dengan Pasukan Khas Siasatan 1MDB.

“Jawatankuasa diketuai saya akan menyelaras gerak kerja pasukan penyiasat khas,” katanya.

Berita berkaitan

'Baru panggil Najib, bukan tangkap...'

'Hanya 3 menteri yang berani - KP SPRM'

'Saya hampir mati, dituduh pembelot negara - KP SPRM [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 2:20 PM