Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


DUA lelaki diberkas selepas dipercayai menggunakan wang palsu yang dicetak sendiri untuk membeli telefon pintar di kedai telefon di Jalan Pasar, Bagan Serai, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu, suspek berusia 26 dan 36 tahun itu dikesan membeli telefon pintar jenis Huawei bernilai RM600.

Beliau berkata, suspek membuat pembayaran dengan wang tunai membabitkan empat keping wang kertas RM100 dan empat keping wang kertas RM50.

“Suspek kemudian meninggalkan kedai telefon itu dan pekerja premis berkenaan mengesyaki empat keping not RM100 yang diterima daripada suspek adalah palsu berikutan mempunyai nombor siri sama.

“Pekerja itu memberitahu majikannya mengenai kejadian itu sebelum dia memaklumkan kepada polis yang kemudian mengesan dan menangkap suspek,” katanya pada sidang media di Bagan Serai, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, kedua-dua suspek diberkas ketika sedang cuba membeli telefon pintar di sebuah kedai lain yang terletak berhampiran dan ketika tangkapan dibuat, polis menemui sekeping not RM100 dipercayai palsu pada seorang daripada suspek.

“Pemeriksaan dalam kereta dinaiki suspek berjaya menemui enam telefon pintar pelbagai jenama, dua komputer riba dan enam botol penyembur lutsinar.

“Susulan tangkapan itu, pemeriksaan lanjut dilakukan di sebuah inap desa disewa suspek dan menemui 36 keping wang palsu sama bersama pelbagai peralatan mencetak duit palsu termasuk mesin pencetak, alat tulis dan kertas,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan mencetak wang palsu sejak tahun lalu dan mampu mencetak sebanyak 2,000 keping sehari serta wang terbabit digunakan untuk kegunaan sendiri.

Menurutnya, berdasarkan pengakuan dibuat suspek, modus operandi mereka adalah berpindah randah ke seluruh negara untuk menggunakan wang palsu berkenaan.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dengan dalang utama berusia 36 tahun baru sahaja keluar penjara pada 2016 atas kesalahan sama iaitu menggunakan wang palsu.

“Suspek turut berada dalam senarai dikehendaki polis atas empat kes penggunaan wang palsu dan kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan serta kedua-dua suspek direman seminggu hingga 28 Mei ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 3:43 PM
OMAR Bakhtiar (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan wang kertas palsu pada sidang media di IPD Kerian, hari ini. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi