DZULKIFLI berlapang dada menerima permohonan maaf daripada Mohd Shukri. FOTO fail NSTP


TAN Sri Dzulkifli Ahmad mengesahkan menerima permohonan maaf daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berhubung kenyataan yang melabelkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebagai pengkhianat negara.

Dzulkifli berkata, beliau amat bersyukur dan berlapang dada menerima permohonan maaf berkenaan selain menyifatkan isu berbangkit sudah selesai.

“Saya menyifatkan kenyataan itu (pengkhianat negara) sebagai satu tuduhan teramat berat ke atas diri saya.

“Bagaimanapun, saya amat terharu dan ingin memaklumkan bahawa Shukri sudah menghubungi saya pagi ini (tadi) melalui WhatsApp.

“Sebagai seorang berjiwa besar, beliau sudah memohon maaf kepada saya di atas kenyataan tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap saya dalam sesi sidang media semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, beliau sudah menjalankan tugas diamanahkan dengan penuh tanggungjawab sepanjang tempoh perkhidmatannya hampir 25 tahun dalam sektor awam.

“Tugas dijalankan secara profesional serta memberikan komitmen tinggi.

“Sesungguhnya saya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai pengkhianat negara,” katanya.

Semalam, beberapa portal media melaporkan Mohd Shukri memohon persaraan awal pada 2016 dengan alasan mahu menyambung pengajian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah Dzulkifli yang dianggapnya sebagai pengkhianat.

Beliau berkata, Dzulkifli dianggap tidak telus dalam menjalankan siasatan skandal RM2.6 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohd Shukri berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum bersara awal pada 31 Julai 2016 dengan jawatan terakhir dipegang beliau ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

Berita berkaitan

'Lebih baik diam...'

'Baru panggil Najib, bukan tangkap...'

'Hanya 3 menteri yang berani - KP SPRM'

'Saya hampir mati, dituduh pembelot negara - KP SPRM [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 4:26 PM