DATUK Seri Azlan Man (kiri) dan Datuk Ismail Kassim. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Mustakim Ramli


PENANTIAN rakyat Perlis untuk mendapat Menteri Besar sudah terjawab apabila majlis istiadat dan angkat sumpah jawatan itu dijadual berlangsung di Balai Menghadap, Istana Arau, esok.

Namun, masih menjadi tanda tanya siapa bakal menerajui negeri ini susulan jemputan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis tidak menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar.

Calon yang dilihat paling layak dan berpotensi untuk menggalas jawatan itu adalah Menteri Besar penggal lalu yang juga ADUN Bintong Datuk Seri Azlan Man.

Sama ada beliau mendapat sokongan ADUN lain atau sebaliknya, ia adalah perkara kedua kerana paling utama dan penting ialah beliau dikatakan mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Azlan adalah individu yang sentiasa berada di sisi Raja Perlis dan dilihat ada di setiap majlis yang dihadiri Tuanku Syed Sirajuddin.

Malah ketika berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, ketika sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) 'hilang', Azlan satu-satunya wakil rakyat BN bersama baginda di Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri 5 di Masjid Alwi, Kangar, pada 13 Mei lalu.

Pada majlis berkenaan juga, Raja Perlis bertitah memerlukan masa untuk memberi perkenan kepada calon Menteri Besar kerana tidak mengenali senarai nama yang diserahkan kepada baginda.

Titah baginda itu sehari selepas kenyataan Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Susulan itu, 10 wakil rakyat BN termasuk Azlan dan Ismail kemudian diperintah menghadap Raja Perlis pada Rabu lalu dan difahamkan bagi memudahkan Raja Perlis mengenali lebih dekat semua wakil rakyat.

Keesokkannya, Raja Perlis berkenan meraikan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-75 dengan mengadakan majlis iftar Ramadan dan bersolat sunat tarawih.

Pada majlis itu, semua wakil rakyat tidak mengira parti termasuk Azlan hadir kecuali Ismail.

Ketika Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Raja Perlis, semalam hanya ADUN yang dikatakan berpihak kepada Azlan sahaja dilihat menemani Zahid di Istana Arau.

Ini termasuk Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar Datuk Azam Rashid sekali gus menguatkan lagi dakwaan Azlan bakal memimpin Kerajaan Negeri Perlis pada penggal ini.

Berita berkaitan

Raja Perlis tentukan Menteri Besar

Azlan dilantik semula MB Perlis?

Azlan, Ismail antara ADUN BN menghadap Raja Perlis

Saya tidak tahu - Azlan Man

Ismail Kassim calon MB Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 4:41 PM