KETUM yang ditemui di Pos Sahara. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sekali lagi menumpaskan kegiatan menyeludup daun ketum di sempadan negara apabila merampas 218 kilogram (kg) daun ketum bernilai hampir RM20,000 di Pos Sahara, Durian Burung, di Padang Terap, hari ini.

Panglima Enam Briged, Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, daun ketum itu ditemui pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2RRD) yang sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit kira-kira jam 11 pagi.

"Ketika rondaan yang diketuai oleh Sarjan Mohd Zulkifli Abdullah bersama tujuh anggota, mereka menemui tujuh guni putih dan masing-masing satu bungkusan kain pelekat serta batik yang mengandungi daun ketum ditinggalkan di tepi jalan tanah merah berhampiran pagar sempadan.

"Daun ketum itu diikat kepada 450 ikatan sebelum dimasukkan ke dalam guni dan bungkusan berkenaan di mana pihak kami percaya daun ketum itu akan diseludup oleh pihak ketiga ke negara jiran. Ia diletakkan di lokasi itu oleh orang tempatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, sejak awal Ramadan, ATM sudah mengesan tiga kes penyeludupan daun ketum yang dipercayai didalangi sindiket yang sama berikutan permintaan dan harga yang tinggi di Thailand.

Katanya, semua hasil rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 7:03 PM