DR MAHATHIR ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama di Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Oleh Azura Abas; Manirajan Ramsamy; Mohd Husni Mohd Noor dan Hazwan Faisal Mohamad


TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan agensi perisikan, Malaysia External Intelligence Organisation (MEIO), tidak dibentuk atau diwujudkan di bawahnya sepanjang 22 tahun berkhidmat sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, beliau perlu mendapatkan semua fakta mengenai MEIO kerana belum lagi diberi taklimat untuk memutuskan sama ada agensi itu akan turut dibubarkan atau sebaliknya,

“Saya juga tidak pasti sama ada agensi sama sudah diwujudkan pada pentadbiran Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) ketika bergelar Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, saya tahu kegiatan mereka (MEIO) tidak baik untuk kerajaan ini. Kami tidak mahu mengintip rakyat. Kami tidak memerlukan mereka, termasuk kecerdasan mereka, saya fikir kami sudah bijak (pintar),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama di Putrajaya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan sebuah rumah milik seorang pegawai wanita berpangkat tinggi, yang dipercayai sebagai ketua agensi perisikan itu diserbu pada hujung minggu lalu.

Sementara itu, ditanya berhubung pelantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Dr Mahathir berkata Mohd Shukri adalah orang yang tepat untuk memegang jawatan itu.

“Kami memilihnya kerana beliau mempunyai pengalaman luas dan pernah terbabit dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), namun kerajaan terdahulu tidak menyukai kerja (siasatan) yang dilakukannya,” katanya.

Selain itu, ditanya mengenai Mesyuarat Kabinet pertama yang dipengerusikannya di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berkata, semua orang menyumbang fikiran dan beliau membenarkan semua menteri bercakap, sekali gus membuktikan dirinya bukan seorang diktator.

Mengenai baki barisan Kabinet yang belum diumumkan, Dr Mahathir berkata, baki 12 menteri Kabinet akan diumumkan secepat mungkin.

.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 8:27 PM