ERIC (kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim semasa program Fast2Feed di Pasaraya Mydin, Perai.
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Pengeluar minuman terkemuka dunia, Coca-Cola, menerusi Coca-Cola Malaysia bekerjasama dengan Pertubuhan Yayasan Kemanusiaan dalam penganjuran program ‘Fast2Feed’.

Penganjuran program itu selaras dengan usaha memberi keceriaan kepada lebih 5,000 golongan kurang bernasib baik di semua negeri di Semenanjung Malaysia sepanjang Ramadan ini.

Menjadi sebahagian aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tahunan syarikat dan pertubuhan berkenaan, program itu menumpukan kepada usaha membantu anak yatim, kanak-kanak daripada keluarga miskin, penghuni rumah orang tua, orang asli dan pelarian.

Pengarah Komersial Coco-Cola Refreshments Malaysia (CCRM) Eric Tan berkata, sempena program itu, setiap mereka yang dibantu menerima hidangan berbuka puasa, makanan keperluan asas, pakaian baru dan duit raya untuk meraikan bulan mulia bagi seluruh masyarakat beragama Islam.

“Tahun ini, pasukan Yayasan Kemanusiaan mengembara tanpa erti penat untuk membawakan keceriaan kepada mereka yang tidak bernasib baik sempena Ramadan dan Aidilfitri di 24 lokasi di seluruh negeri di Semenanjung.

“Ia menarik minat kita untuk bekerjasama dengan yayasan ini sebelum memulakan kerjasama sejak 2010 bagi membantu dan memberi sokongan kepada kerja amal dijalankan pertubuhan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 300 anak-anak yatim di Pulau Pinang dalam Majlis Berbuka Puasa di Pasar raya Mydin, Jalan Baru, di sini.

Mydin dan restoran makanan segera Marrybrown bertindak sebagai penaja dan menyumbang hamper serta juadah berbuka puasa kepada anak-anak yatim berkenaan.

Eric berkata, selain membantu golongan kurang bernasib baik, Coca-Cola juga kini berusaha memperkasakan kira-kira 3,000 pengusaha gerai makanan di bazar Ramadan seluruh negara melalui program Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU).

Katanya, program ini menggunakan aplikasi telefon yang menyediakan latihan perniagaan asas kepada mereka.

“Selain itu, kira-kira 300 usahawan kecil terpilih juga akan dibantu dengan barangan tarikan jualan Coca-Cola seperti apron, topi, alas meja dan papan menu untuk menyerlahkan gerai mereka.

“Program yang dilancarkan tahun lalu ini direka untuk membimbing usahawan mikro ke arah kejayaan dengan menyediakan pengetahuan dan latihan diperlukan bagi meningkatkan perniagaan yang diceburi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 4:24 AM