PEKERJA tempat pengumpulan barangan lusuh mencari barangan yang masih boleh diguna selepas premis itu seluas 0.4 hektar premis musnah dijilat api. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail & Rosliza Mohamed


“API merebak dengan cepat dan kami tidak mampu berbuat apa-apa," kata Wan Raudhed Wan Ab Rahman, 40, saksi kebakaran membabitkan premis pengumpulan barangan lusuh di Pasir Tumboh, Kota Bharu, semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, premis berkeluasan 0.4 hektar itu musnah dijilat api. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Api berjaya dipadamkan sepenuh 5.43 pagi ini selepas 12 jam anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran sejak semalam.

Wan Raudhed berkata, ketika sedang menonton televisyen dia terhidu bau hangit sebelum secara tiba-tiba, jiran datang memberitahu, premis yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah sedang terbakar.

"Saya kemudian bergegas keluar dan terkejut melihat api sedang marak. Ketika itu saya dapat rasakan bahang api yang panas.

"Kami sekeluarga cuba memadamkan api dari merebak ke rumah, namun terpaksa berpatah balik selepas terdengar bunyi beberapa letupan dipercayai dari tong gas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, sementara menunggu bomba tiba, dia bersama penduduk kampung bertungkus lumus memindahkan barang termasuk perabot ke luar kerana khuatir api merebak ke rumah.

"Mujurlah tindakan pantas bomba yang tiba tidak lama selepas itu berjaya mengawal api dari merebak ke beberapa rumah yang terletak berhampiran premis itu.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih bomba yang bertungkus lumus memadam kebakaran sehingga awal pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu Penguasa Bomba Kanan II SyobirinAbd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 4.01 petang.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar pelbagai barangan lusuh membabitkan besi dan plastik terpakai.

"Kebakaran dapat dikawal dalam masa dua jam dan kita berjaya menyelamatkan enam rumah yang berada berhampiran lokasi kejadian.

"Api dapat dipadamkan sepenuhnya 5.43 pagi ini berikutan kawasan yang luas dan kami terpaksa menggunakan jengkaut untuk memadamkan kebakaran di bawah timbunan barangan lusuh," katanya.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

NSTP sebelum ini melaporkan Premis pengumpulan barangan lusuh dengan keluasan 0.4 hektar musnah dalam kebakaran di Pasir Tumboh, di sini petang semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 5:18 PM