Rafidah (duduk, dua dari kanan) bersama Pengarah Urusan, Datuk Mohd Johaimis Mohd Johari dan kakitangan.
Mary Victoria Dass dan Izlaily Nurul Ain Hussein
cnews@nstp.com.my

Johor Bahru: Jalinan kerjasama yang diberikan penaja Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) amat bermakna bagi menjayakan program yang diadakan di bandar raya ini, semalam.

Dalam usaha berkenaan, Syarikat Vidara Sdn Bhd membiayai kos pengangkutan bagi 200 anak yatim dan pelajar miskin dari lima perkampungan di mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Vidara Sdn Bhd, Datin Rafidah Mohd Bikan berkata, penajaan berkenaan bertujuan memudahkan perjalanan kumpulan anak yatim dan pelajar miskin untuk dibawa ke pusat beli-belah di Tampoi.

Sementara itu, bagi memastikan kumpulan sukarelawan dari Kuala Lumpur bertenaga sepanjang hari untuk melaksanakan khidmat masyarakat, Restoran Spice Villa di Holiday Villa turut menawarkan juadah berbuka puasa di restorannya.

Pengurusnya, Sirajudeen Mohd Shariff berkata, pihaknya menghargai pengorbanan kumpulan sukarelawan yang sanggup ke Johor Bahru bagi meraikan golongan kurang bernasib baik.

“Program TKHM secara tidak langsung menggalakkan golongan muda bergiat sebagai sukarelawan serta berbakti kepada masyarakat dan kami menghargainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 5:40 AM