IMAM Masjid Al-Hidayah, Pos Hendrop, Aris Rami menyampaikan khutbah Jumaat dalam bahasa Temiar untuk kefahaman Orang Asli.
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Membaca khutbah Jumaat dalam bahasa Orang Asli Temiar berjaya menarik ramai etnik itu yang beragama Islam untuk menunaikan solat di Masjid al-Hidayah, Pos Hendrop, di sini.

Setiap kali Jumaat, kira-kira 200 Orang Asli dari kampung berhampiran akan ke masjid itu yang berusia lebih 10 tahun.

Imam masjid, Aris Rami, 55, berkata, program mengimarahkan masjid bermula sejak pagi dengan kelas mengaji al-Quran dan fardu ain.

“Ketika solat Jumaat, khutbah akan dibacakan dalam bahasa Temiar untuk memudahkan masyarakat Orang Asli faham maksud yang ingin disampaikan.

“Kita sentiasa buat program keagamaan dan Alhamdulillah sambutan diberikan amat baik apabila semakin ramai penduduk daripada kanak-kanak hingga dewasa ke masjid,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Penduduk Orang Asli, Bakar Abdullah, 50, berkata, masjid itu berjaya memainkan peranan menyatukan penduduk beragama Islam menerusi pelbagai aktiviti.

“Saya sendiri memeluk Islam hampir 30 tahun lalu dan di masjid ini kami diajar solat, mengaji al-Quran dan berpuasa pada Ramadan hingga amalan itu dididik kepada anak kami.

“Pada masa sama, kebajikan Orang Asli diberi perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 5:48 AM