NURISAN dan suami di gerai mereka di Bazar Ramadan Wangsa Delima.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mereka tidak menggunakan resipi warisan keluarga seperti kebiasaan oleh peniaga lain, sebaliknya menghasilkan Nasi Dagang dan Nasi Kerabu berdasarkan kreativiti serta pengalaman dimiliki dalam bidang masakan.

Nasi Kerabu menggunakan resipi hasil perkongsian idea Nurisan Hainaema, 37, dan suaminya, Mohd Shukri Mat Daud, 39, diberi nama jolokan ‘Nasi Kerabu Asmara’ kini tidak asing lagi, malah ia begitu popular dalam kalangan penduduk sekitar Wangsa Maju.

Katanya, sempena Ramadan ini dia bersama suami mengusahakan gerai menjual Nasi Kerabu Asmara di Bazar Ramadan Wangsa Delima, berikutan mahu memenuhi permintaan pelanggan.

“Suami bekas cef di sebuah hotel terkemuka di ibu kota dan dia banyak bantu saya dalam menyediakan resipi ini sejak di peringkat awal lagi. Ramadan kali ini, sudah lima tahun saya berniaga. Alhamdulillah rezeki pula murah.

“Saya memilih citarasa Kelantan kerana majoriti rakyat Malaysia boleh menerima juadah negeri Pantai Timur itu. Nasi kerabu dan Nasi Dagang bukan satu menu asing bagi penghuni kota,” katanya, ketika ditemui di gerainya di sini, semalam.


NURISAN melayan pelanggan yang singgah di gerainya.

Nurisan yang juga antara seorang peserta program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-cola KU) berkata, penyediaan juadah bermula jam 10 pagi dengan pelbagai bahan ramuan dan kebiasaannya siap jam 2 petang.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, kempen keusahawanan Coca-Cola KU banyak membantunya dalam mempromosikan perniagaan makanan yang diusahakan.

“Biasalah, setiap perniagaan pasti ada cabaran. Bagi kami pengusaha makanan, cabaran utama adalah mengekalkan rasa dan menjaga mutu produk. Cabaran lain adalah faktor luar jangka seperti cuaca.

“Dorongan pihak tertentu seperti kempen usahawan Coca-Cola ini menyuntik motivasi kepada kami peniaga untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Menerusi program itu, Coca-Cola KU melaksanakan komitmen secara global untuk memperkasakan lebih lima juta usahawan menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 5:54 AM