Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my

Alor Setar: Hobi mengumpul pelbagai koleksi barangan berjenama Coca-Cola sejak kecil memberi kepuasan bermakna kepada peniaga kedai runcit apabila berjaya mengumpul 50,000 koleksi jenama berkenaan termasuk dari beberapa negara di dunia ini.

Antara koleksi yang disimpan termasuk pembakar roti, jangka suhu, jam dinding, jam tangan, cadar, selimut, basikal, meja makan, tin dan botol yang menggunakan logo jenama Coca-Cola.

Lee Choon Chiek, 57, berkata, dia mula menyimpan koleksi barangan itu sejak di bangku sekolah iaitu pada 1979 hingga sanggup membeli barangan itu daripada rakan atau pemilik kedai semata-mata untuk menyimpannya.


CHOON Chiek (kanan) bersama isteri dan anak tunggal mereka menunjukkan koleksi barangan Coca-Cola dan McDonald’s.

Menurutnya, kebanyakan koleksi itu disimpan dalam dua bilik khas termasuk bilik tidur anaknya yang keseluruhannya menggunakan koleksi Coca-Cola.

Lebih menarik, satu daripada bilik itu diubah suai dan diletakkan semua barangan yang disusun pada rak khas.

“Antara koleksi paling mahal yang disimpan adalah botol Coca-Cola Edisi Terhad majlis perkahwinan Puteri Diana dan Putera Charles pada 1981 yang diperoleh dari rakan yang pulang daripada England yang masih disimpan hingga kini.

“Selain itu, ada juga botol Coca-Cola terbaru untuk Piala Dunia yang sedang berlangsung di Russia sekarang serta banyak lagi koleksi termasuk cenderahati perkahwinan yang hanya terhad untuk tetamu jemputan dari Thailand dan Singapura,” katanya ketika ditemui di rumahnya di rumah kedai Jalan Pumpong di sini, kelmarin.


KOLEKSI Coca-Cola edisi terhad yang diperoleh Lee dari luar negara.

Walaupun koleksi barangan terbabit kebanyakannya sudah berusia antara 30 hingga 39 tahun, ia masih tersimpan dengan baik kerana seminggu sekali dia akan membersihkan tin dan botol dengan kain bagi mengelakkannya berhabuk.

Choon Chiek berkata, disebabkan hobi ‘gilanya’ menyimpan koleksi Coca-Cola itu sudah diketahui rakan lain, mereka turut menyokong dan ada yang memberi hadiah kepadanya sekiranya ke luar negara.

Katanya, rakan banyak membantu mengumpul koleksi hobinya itu malah semua barangan Coca-Cola dikumpul ada yang mencecah ribuan ringgit untuk setiap botol.


CHOON Cheik dan anaknya, Jain Wen menunjukkan sebahagian koleksi barangan berjenama Coca-Cola.

“Saya terpaksa menyimpan di tempat khas untuk mengelakkan ia rosak. Saya bercadang untuk mewujudkan Mini Muzium Coca -Cola, tetapi belum cukup peruntukan untuk tujuan itu.

“Jika Mini Muzium itu diwujudkan, saya percaya ramai yang akan datang melihat semua koleksi peribadi saya kerana semuanya terhad dan sukar didapati memandangkan ada yang datang dari negara luar seperti Poland, Hong Kong, China, Russia dan boleh dikatakan hampir seluruh dunia,” katanya.


ANTARA koleksi tin dan botol berjenama Coca-Cola yang disimpan di rak dalam bilik khas.

Choon Chiek berkata, selain itu, dia juga berhasrat untuk merekodkan namanya dalam Guinness Book of Record kerana dapat menyimpan koleksi barangan berkenaan.

Dia turut mengakui membelanjakan lebih RM300,000 untuk tujuan itu dan kini turut mengajar anak tunggalnya, Lee Jain Wen, 26, supaya mengikut jejak langkahnya menyimpan koleksi Coca-Cola di rumah mereka supaya dia dapat mewarisi hobi berkenaan.

Menurutnya, selain Coca- Cola, dia turut menyimpan koleksi barangan mainan Mc Donald’s yang disimpan di bilik khas lain dan mengumpulnya sejak tahun 1984.


BILIK tidur Jain Wen dipenuhi koleksi jenama Coca-Cola.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 6:29 AM