Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


BERANG keasyikan dibuai layanan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing terganggu, empat lelaki menyerang dan membaling kerusi kepada polis dalam serbuan di sebuah pusat hiburan yang beroperasi melebihi masa di bandar raya Ipoh, awal pagi hari ini.

Empat lelaki tempatan berusia 30 hingga 40 tahun itu antara 48 individu ditahan dalam dua serbuan berasingan dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bermula 9.30 malam hingga 3 pagi.

Serbuan dijalankan di pusat hiburan di Jalan Mustafa Al Bakri dan hotel bajet di Jalan C M Yusuf di Ipoh, membabitkan tangkapan lapan GRO warga Vietnam dan 11 wanita warga Thailand serta seorang wanita Laos dipercayai pelacur selain 28 pelanggan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, ketika serbuan dijalankan di pusat hiburan berkenaan, berlaku sedikit kekecohan dalam kalangan pengunjung premis terbabit.

“Ketika serbuan dijalankan, empat lelaki dipercayai pelanggan pusat hiburan itu menyerang polis dengan membaling kerusi dan keempat-empat lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“"Dalam serbuan itu, kita turut menahan 29 individu termasuk lapan GRO warga Vietnam serta seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai penjaga premis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan.

Yahya berkata, siasatan awal mendapati pusat hiburan itu beroperasi melebihi tempoh masa ditetapkan yang sepatutnya tamat pada 1 pagi.

Sementara itu, dalam serbuan sebuah hotel bajet pula, beliau berkata, polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai penjaga premis berusia 41 dan 48 tahun serta 12 wanita dipercayai pelacur warga Thailand dan Laos berusia antara 35 hingga 40 tahun, selain lima lelaki warga asing dipercayai pelanggan.

“Pemeriksaan polis mendapati hotel itu mempunyai lebih 10 bilik dan terdapat banyak pintu rahsia dipercayai laluan tikus yang membolehkan pelacur atau pelanggan melarikan diri ketika serbuan dijalankan.

“Siasatan awal mendapati semua pelacur berkenaan menerima bayaran antara RM30 hingga RM80 mengikut kategori usia masing-masing,” katanya.

Yahya berkata, polis turut merampas dua telefon bimbit, empat botol pelincir, 70 keping kondom dan wang tunai RM1,515 yang dipercayai hasil kegiatan pelacuran dijalankan di hotel berkenaan.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke IPK Perak untuk urusan dokumentasi dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1953; Seksyen 39 (B) Akta Imigresen 1963; Seksyen 373 KK; Seksyen 372B KK; Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 186 KK.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 8:59 AM
YAHYA (berdiri kiri) bersama anggotanya menyoal siasat wanita warga asing yang ditahan di hotel bajet di Jalan C M Yusuff, awal pagi hari ini. FOTO Farah Suhaidah Othman.