TINDAKAN pemandu sebuah kereta melompat keluar dari kenderaan yang dinaiki berjaya menyelamatkan dirinya.
TINDAKAN pemandu sebuah kereta melompat keluar dari kenderaan yang dinaiki berjaya menyelamatkan dirinya.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TINDAKAN pemandu kereta melompat keluar dari kenderaan dipandunya berjaya menyelamatkan dirinya daripada dirempuh lori di Kilometer 26.5 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, pemandu berusia 35 tahun itu bertindak melompat keluar selepas menyedari sebuah lori hendak melanggar keretanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, akibat kejadian itu, kereta lelaki terbabit remuk teruk akibat dirempuh lori berkenaan.

“Turut terbabit dalam kemalangan berkenaan adalah empat kenderaan lain yang gagal mengelak selepas perlanggaran awal itu.

“Kemalangan tidak membabitkan sebarang kecederaan, namun berlaku kesesakan di lebuh raya berkenaan,” katanya.

Azman berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu lori yang tidak dapat mengawal kenderaannya.

Beliau berkata, sehubungan itu, polis meminta orang ramai atau saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Abdul Naseer Peping di 016-3925903 untuk membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 9:48 AM