ANIFAH. FOTO Mohd Adam Arinin
Fardy Bungga


“DI MANA dia ketika ini, saya tidak tahu, apa yang cuma menjadi kerisauan saya sekiranya beliau tidak sihat,” kata Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman ketika mengulas 'kehilangan' abangnya, Tan Sri Musa Aman, sejak hampir dua minggu lalu.

Anifah berkata, beliau yakin abangnya itu dapat mengharungi cabaran dihadapi ketika ini.

“Bagaimanapun, saya tahu dia mampu untuk menang dalam pertempuran (cabaran) ini.

“Biarkan dia berehat dan balik untuk raya,” katanya.

Bekas Menteri Luar itu ditemui NSTP selepas majlis berbuka puasa yang anjuran beliau yang dihadiri pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah di Kota Kinabalu, malam ini.

Anifah berkata, kali terakhir beliau bercakap dengan Musa ialah sehari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di Kota Kinabalu.

Sebelum ini, Musa yang juga Pengerusi BN Sabah dilaporkan sudah keluar negara dengan mengambil penerbangan ke London dari Brunei atau Singapura.

Bagaimanapun, semakan NSTP dengan sumber Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod bekas Ketua Menteri Sabah itu keluar dari negara ini.

Musa dikehendaki oleh Polis Sabah bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di rumah Musa, namun tidak dapat memasuki kediaman itu kerana beliau tiada di rumah.

Ia dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14.

Sementara itu, peguam Musa, Zahir Shah menerusi kenyataan ringkas malam ini, berkata anak guamnya akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM termasuk menjalankan pemeriksaan di kediamannya.

Terdahulu, majlis berbuka puasa itu dihadiri hampir semua pemimpin UMNO Sabah, selain dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Antara yang hadir ialah Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Naib Presiden PBRS, Arthur Kurup; Ketua UMNO Ranau, Datuk Seri Masidi Manjun, selain Jeffrey Kitingan dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin.

Berita berkaitan

'Di mana Musa Aman?'

'Di mana Musa Aman?'

'SPRM hadir ke rumah Musa Aman'

'Musa Aman nafi tuduhan ugutan jenayah'

'Polis Sabah minta Musa tampil'

'Tun Juhar buat laporan polis'

'Musa saman TYT, Mohd Shafie'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 9:41 PM