HAZIMAH melayan pelanggan membeli nasi lemak sambal ‘kick’ digerainya.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sambal ‘kick’ antara kelebihan nasi lemak yang dihasilkan seorang wanita menerusi resipi rahsia daripada ibunya sehinggakan makanan tradisi berkenaan mempunyai ramai pelanggan setia sejak
dua tahun lalu.

Malah, nasi lemak yang dihasilkan Hazimah Abu Bakar, 27, berasal dari Bintulu, Sarawak, pasti laris terutama sambal apabila terdapat pelanggan yang datang ke gerai semata-mata mahu membelinya tanpa nasi.

Ternyata, pengorbanan Hazimah yang sanggup berhenti kerja sejak dua tahun lalu sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah terkemuka di bandar raya ini berbaloi apabila dia kini mampu meraih pendapatan lumayan dengan menjual makanan tradisi berkenaan.

Hazimah berkata, dia mengambil masa dua bulan untuk menghasilkan sambal nasi lemak yang sedap mengikut resipi yang diberikan oleh ibunya sebelum membuka gerai berhampiran Stesen Komuter Kepong di sini.

“Ibu hanya memberikan resipi saja dan pandai-pandai sayalah untuk menghasilkan sambal nasi lemak yang sedap
dan memenuhi cita rasa pelanggan.

“Jika diikutkan bukannya mudah kerana air tangan ibu berbeza dengan kita walaupun resipi rahsia itu diperturunkan kepada kita,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Metro Prima, Kepong di sini, semalam.

Berkat usaha tanpa erti penat lelah dengan menambah baik lagi sambal nasi lemak berkenaan menyebabkan makanan tradisi yang dihasilkan wanita berkenaan mendapat reaksi positif daripada orang ramai terutama penduduk di sekitar Metro Prima.

“Setiap pagi saya akan menjual nasi lemak berhampiran Stesen Komuter Kepong dan makanan terbabit boleh terjual sekitar 150 bungkus sehari.

“Walaupun, nasi lemak saya mendapat reaksi positif daripada orang ramai, tetapi saya masih lagi dalam proses belajar untuk menghasilkan makanan tradisi berkenaan yang lebih sedap dan enak,” katanya.

Selain itu, dia turut bersyukur kerana dipilih sebagai peserta program 5by20 yang banyak membantunya dalam melakukan penjenamaan produk dan merangka strategi pemasaran.

“Saya berasa bertuah kerana dapat belajar daripada pengendali produk minuman terkemuka dunia.

“Sebelum ini, kami berdepan masalah untuk mempromosikan makanan tradisi ini secara lebih meluas.

“Kempen Coca-Cola KU membantu saya untuk memperkenalkan makanan popular berkenaan kepada umum terutama di sekitar Kepong dan ternyata memberi impak apabila semakin ramai pelanggan mahu cuba berbanding sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 7:12 AM