GELAGAT Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bersama orang ramai ketika Program Sembang Santai dan Bersahur Menyaksikan Perlawanan Akhir Liga Juara-Juara Eropah di Restoran Norsiah. FOTO Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria


KETUA Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta Astro untuk membawakan siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, ini bagi membolehkan rakyat khususnya golongan muda dapat menyaksikan kejohanan bola sepak berprestij itu.

Sehubungan itu katanya, beliau akan menemui Menteri KKMM, Gobind Singh Deo dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara itu.

“Dalam tempoh terdekat ini, saya akan cuba berurusan dan jumpa Gobind yang menjaga KKMM untuk bincangkan isu ini kerana kita nak pastikan (rakyat dapat menonton Piala Dunia).

“Contohnya di beberapa lokasi tertentu di setiap daerah, kawasan Parlimen ini kita akan adakan layar gergasi.

“Sebelum ini pun bila saya jumpa pihak tertinggi Astro, ada bincangkan juga perkara ini.

“Di Muar contohnya, buat satu layar gergasi mega, di Johor Bahru dan tempat lain semua ada (layar gergasi),” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui dalam Program Sembang Santai dan Bersahur Sambil Menyaksikan Perlawanan Akhir Liga Juara-Juara Eropah di Restoran Norsiah, Muar, awal pagi tadi.

Syed Saddiq berharap melalui inisiatif itu perkara berkenaan dapat direalisasikan supaya semua rakyat Malaysia berkumpul untuk menyaksikan perlawanan pilihan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 1:04 PM