ANGGOTA polis memeriksa motosikal yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan seorang ibu. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA polis memeriksa motosikal yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan seorang ibu. FOTO Rosli Ilham


IBU maut manakala dua anaknya cedera selepas motosikal mereka terbabit kemalangan di Kilometer 72, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Pulau Serai, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 1 tengah hari itu, Wan Zaida Wan Zaid, 43, maut di tempat kejadian manakala anaknya, Ahmad Qusairi Arman, 7, dan Ahmad Saiful Arman, 12, cedera.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Honda EX5 ditunggangi mangsa dikatakan keluar dari simpang sebelum dirempuh motosikal lain dari arah Kuala Terengganu ke Dungun.

Rempuhan kuat itu menyebabkan tiga beranak tercampak di jalan manakala penunggang motosikal Yamaha LC135 terbabit yang cedera meninggalkan motosikalnya dan melarikan diri.

Ketika kejadian, Wan Zaida yang tinggal di Kampung Pelandang di Dungun, menjemput dua anaknya itu yang belajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Serai.

Mangsa dikatakan mahu membawa anaknya membeli barangan di kedai runcit sebelum kemalangan.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 3:39 PM