Farah Dinah Hassan


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 74,500 kotak rokok seludup bernilai kira-kira RM750,000 termasuk cukai selepas mengekori sebuah lori di Tiram, Johor Bahru.

Dalam kejadian 10.35 malam Selasa lalu, pemandu lori bertindak memberhentikan kenderaan itu di tepi jalan sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, sepasukan empat anggota dan seorang pegawai yang menyertai Ops Landai mengekori lori tiga tan dipercayai membawa rokok seludup dalam perjalanan dari Kota Tinggi menghala ke Kulai.

“Pihak kami cuba memintas lori terbabit, tetapi pemandunya tidak mahu memberi kerjasama untuk memberhentikan kenderaan itu.

“Selepas mengekori lori itu kira-kira 15 minit, pemandu bertindak memberhentikan kenderaan berhampiran persimpangan Sungai Tiram sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“PPM cuba mengesan pemandu lori terbabit tetapi gagal. Hasil pemeriksaan, kita menemui rokok seludup yang disimpan di bahagian belakang lori," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pasaran, rokok itu bernilai RM74,600, selain cukai bernilai RM35,760, duti import dan eksais sebanyak RM640,700.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa barang yang dilarang, selain tidak membayar cukai.

PPM meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang yang berlaku di pesisiran pantai dengan menghubungi talian 07-2372222 atau 07-2376122.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 5:57 PM
PAUL (kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dari sebuah lori pada sidang media di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Tampoi, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin