MAYAT mangsa perahu karam ditemui terapung di kawasan dikenali Lubuk Tabau. FOTO ihsan Bomba
Khalid Latip


MAYAT mangsa terakhir tragedi perahu karan di Lubuk Sepali, Hulu Sungai Kanowit, Julau, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), 7.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Bidol Noyeng, berkata mayat Eviline Linty Kaya, 23, ditemui terapung di kawasan dikenali Lubuk Tabau, tidak jauh dari lokasi perahu berkenaan karam.

Katanya, berikutan penemuan mayat mangsa terakhir itu, operasi SAR di bawah kelolaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, yang dilancarkan Jumaat lalu, dihentikan serta merta.

“Mayat mangsa pertama berusia 46 tahun ditemui terdampar di tebing sungai berkenaan kelmarin (Jumaat) , disusuli mangsa kedua, seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun di Sungai Pecur semalam (Sabtu).

“Keseluruhannya, tiga mangsa disahkan lemas, manakala dua lagi terselamat dalam kejadian ini yang berlaku dalam tempoh kurang seminggu menjelang sambutan Hari Gawai,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian 5 petang Khamis lalu, lima sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah panjang mereka di Nanga Ensiring apabila perahu panjang dinaiki tiba-tiba dimasuki air dan karam.

Kejadian berlaku kira-kira 50 meter dari jeti rumah panjang mereka, dengan dua mangsa berjaya berenang ke tebing sungai sebelum diselamatkan penduduk kampung, manakala tiga lagi hilang dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, keluarga berkenaan sebelum itu menziarahi saudara mereka di Nanga Entabai dalam kesibukan membuat persiapan menyambut Hari Gawai, 1 Jun ini.

Selain Eviline, identiti tiga mangsa terkorban dikenalpasti sebagai Lenny Ingang, 46; dan Kelvin Sama Markus, 6.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin merakamkan penghargaan kepada agensi berkaitan, selain penduduk setempat yang turut membantu operasi SAR kesemua mangsa sejak tiga hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 11:07 PM