MUHAMMAD Suhaiman Mohd Shamsudin, 21 maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Salor, di sini malam tadi. FOTO Ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail


PEMBANTU kedai maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta di Jalan Salor, Kota Bharu, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa Muhammad Suhaiman Mohd Shamsudin, 21, maut di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dari Kota Bharu menghala ke Pasir Mas.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian mangsa dikatakan cuba memotong kereta Honda berwarna hitam sebelum hilang kawalan dan bergesel dengan cermin sisi kenderaan itu.

"Akibatnya, mangsa terjatuh di kanan jalan dan dilanggar kereta Suzuki Swift yang datang dari arah bertentangan.

"Mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke HUSM untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 9:03 AM