PENIAGA batu nisan dan belindan, Wan Jonee Wan Mahmood, 60 melihat belindan yang sudah disiapkan ketika ditemui di Kampung Bunut Payong. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

[email protected]. my

SETIAP kali Ramadan dan menjelang Aidilfitri, perniagaan batu nisan dan belindan mendapat permintaan tinggi sehingga memberi pendapatan lumayan pada peniaga.

Wan Jonee Wan Mahmood, 60, pengusaha perniagaan itu yang diwarisi daripada arwah bapa saudaranya sejak lebih 16 tahun lalu berkata, permintaan terhadap batu nisan dan belindan akan meningkat tinggi setiap kali Ramadan tiba,

Katanya, kerja pembuatan batu nisan dan belindan memerlukan kemahiran, kesabaran serta ketelitian yang tinggi dan mengambil masa antara seminggu hingga tiga bulan bergantung kepada jenis yang diinginkan oleh pelanggan.

"Alhamdulillah setiap kali menjelang Aidilfitri permintaan meningkat kerana waris si mati membuat tempahan bagi menggantikan batu nisan dan belindan yang baharu.

"Bagi menyiapkan tempahan pelanggan, saya dibantu oleh empat pekerja yang terdiri daripada saudara-mara yang sudah mahir membuatnya," katanya ketika ditemui di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, hari ini.

Bapa kepada sembilan anak ini berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan, pernah dia dan beberapa pembantunya bekerja sehingga pagi raya untuk memasang batu nisan dan belindan di tanah perkuburan.

"Selain di daerah Kota Bharu, pemasangan batu nisan dan belindan juga mendapat permintaan daripada pelanggan di Gua Musang, Rantau Panjang dan Jeli.

"Saya menawarkan beberapa jenis belindan termasuk trazo, marmar dengan harga mengikut jenis dan permintaan pelanggan bermula pada harga RM300, manakala batu nisan pula antara harga RM100 hingga RM2,000.

"Belindan paling mahal yang pernah saya buat berharga RM40,000 daripada ukiran kayu jati yang ditempah oleh kerabat diraja," katanya.

Wan Jonee berkata, faktor tanah perkuburan yang sempit menyebabkan dia mengambil inisiatif memperkenalkan belindan jenis 'bata kilat' beberapa tahun lalu kerana ia boleh dialih selain mengurangkan kos pengangkutan.

Katanya, kerja membuat batu nisan memberikan kesedaran mengenai kehidupan sambil menjelaskan setiap kali ada orang di sekeliling meninggal dunia, waris si mati akan datang berjumpa untuk menempah batu nisan atau belindan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 12:33 PM