WAN Azizah (kanan) beramah mesra dengan penghuni Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu sempena Program Lawatan Turun Padang ke Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu. FOTO/ZULFADHLI ZULKIFLI
Nadia Hamid dan Farhana Syed Nokman

CADANGAN mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dua peratus kepada suri rumah tidak membabitkan potongan tambahan caruman daripada gaji suami, kata Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan mencadangkan jumlah potongan caruman KWSP suami kekal 11 peratus.

“Kita tidak ambil caruman tambahan, hanya diambil daripada 11 peratus jumlah caruman KWSP sedia ada. Pemotongan ini sebagai penghargaan kepada isteri,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengulas keengganan ramai suami untuk mencarum potongan KWSP dua peratus untuk isteri pada sidang media selepas melawat Rumah Ehsan Warga Emas, di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata kementerian akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan pemotongan caruman itu, Khamis ini.

Antara perkara yang mendapat rungutan ramai dan perlu diberi perhatian adalah suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu.

Dalam perkembangan sama, kerajaan akan meneliti penambahbaikan prasarana kebajikan dan infrastruktur di rumah jagaan orang tua seluruh negara bagi menjamin masa depan warga emas untuk tempoh 12 tahun akan datang.

Dr Wan Azizah berkata selaras Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara serta Dasar Kesihatan Warga Emas Negara berdepan negara tua dengan jangkaan populasi 15 peratus rakyat berusia 60 tahun ke atas pada 2030.

Katanya, antara penambahbaikan iaitu meningkatkan jumlah penjaga dan menyediakan persekitaran selesa serta selamat termasuk menangani isu meningkatkan kecekapan aktiviti berfokus di pusat rehabilitasi seperti menyediakan program kraftangan dan projek haiwan peliharaan.

“Ketika ini, satu penjaga akan memantau 10 warga emas. Pada waktu malam, hanya dua penjaga akan bertugas. Jumlah ini tak mencukupi untuk menjaga warga emas, yang ada antaranya sakit kronik.

“Seorang penjaga dihadkan menjaga empat warga emas sahaja kerana orang tua memerlukan penjagaan rapi,” katanya.

Beliau mengakui negara berdepan kekurangan penjaga di pusat jagaan warga emas kerana kesukaran melatih tenaga kerja dan bercadang melatih lebih ramai penjaga bertauliah untuk menguruskan golongan tua khususnya, yang sakit kronik serta tiada waris.

Katanya, ramai warga emas berdepan masalah kemurungan kerana pergerakan terhad sekali gus, mengganggu kualiti hidup sehingga mereka mudah emosi , marah dan berdendam.

“Masalah kesihatan sebegini yang perlu diatasi kaunselor untuk memastikan masa depan warga emas lebih baik,” katanya.

Ketika ditanya tambahan kepada Bantuan Orang Tua pada kadar RM350 sebulan dan Bantuan Pesakit Warga Emas (RM300 sebulan) susulan kenaikan kos sara hidup, Dr Wan Azizah berkata kerajaan bercadang akan menambah jumlah bantuan berkenaan tetapi perlu mendahulukan hutang negara.

Ends

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 3:46 PM