LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai Dr Mahathir mengumumkan HSR dibatalkan.
Manirajan Ramasamy dan Ahmad Suhael Adnan

[email protected]@.com.my

KEPUTUSAN mengenai pembatalan atau meneruskan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura belum pernah dibincang dalam mesyuarat Kabinet.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata perbincangan mengenai hala tuju projek mega yang dicetuskan ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN) itu, akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, esok.

“Kena tanya Perdana Menteri (sama ada keputusan membatalkan projek HSR sudah muktamad).

“Setakat yang saya tahu, kami belum pernah berbincang mengenainya. Saya pasti akan membangkitkannya dalam mesyuarat Kabinet esok,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Wesak di Kuil Buddhist Maha Vihara di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, yang mendakwa kerajaan sudah membuat keputusan muktamad untuk membatalkan projek HSR.

Dr Mahathir berkata, pelaksanaan projek yang bakal memendekkan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit itu, tidak memberi manfaat dan keuntungan kepada Malaysia, selain membabitkan kos RM110 bilion.

Kerajaan dijangka perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada kerajaan Singapura jika meneruskan keputusan untuk membatalkan projek terbabit.

Bagaimanapun, ahli Unit Komunikasi Strategik UMNO, Datuk Seri Rahman Dahlan hari ini mempertikaikan dakwaan kos projek itu berjumlah RM110 bilion kerana ia bercanggah dengan kos dianggarkan kerajaan Malaysia dan Singapura sebelum ini, iaitu antara RM50 bilion hingga RM70 bilion.

Guan Eng yang ditanya mengenai projek terbabit pula enggan mengulas mengenainya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan mengatakan Pengerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menerima gaji RM80,000 sebulan yang tular di media sosial ketika ini, Siew Fook berkata, perkara itu akan turut dibangkitkan dalam mesyuarat esok.

Ditanya sama ada akan menyiasat dakwaan itu, beliau berkata: “Kita tahu, tak perlu siasat tapi saya akan komen selepas mesyuarat Kabinet esok.”

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, Dr Mahathir mungkin akan mengumumkan kadar bonus sempena Aidilfitri kepada 1.6 juta penjawat awam, esok.

Berita berkaitan

'Singapura belum terima makluman rasmi HSR batal'

'HSR: Muktamad batal, Malaysia bayar penalti RM500j'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 9:26 PM