KEADAAN motosikal mangsa selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 21, Jalan Kuala Berang-Teris berhampiran Kampung Chapu, Kuala Berang, tengah hari ini. FOTO ihsan polis


WARGA emas maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 21, Jalan Kuala Berang-Teris berhampiran Kampung Chapu, Kuala Berang, tengah hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, mangsa Mat Ghani Salleh, 68, yang menunggang motosikal Honda C70 mengubah haluan secara tiba-tiba sebelum dirempuh pacuan empat roda Toyota Hilux terbabit.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, sebelum kejadian, kenderaan pacuan empat roda dipandu wanita berusia 27 tahun itu dalam perjalanan dari Jertih menghala ke Kuantan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu terbabit gagal mengelak motosikal ditunggang mangsa yang secara tiba-tiba mengubah haluan dari bahu jalan ke tengah jalan.

“Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal terbabit.

“Akibat rempuhan itu mangsa tercampak ke seberang jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk tindakan lanjut manakala pemandu Toyota Hilux tidka cedera.

“Ketika kejadian cuaca baik, permukaan jalan kering manakala kemalangan berlaku di kawasan jalan lurus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 10:40 PM