Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA warga emas dan lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) rentung, manakala seorang lagi cedera dalam kebakaran sembilan rumah di Kampung Baru Cina Repas, Bentong, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa, Long Sing Kiew, 78, dan Chong Wei, 23, ditemui dalam keadaan rentung di dalam kediaman masing-masing.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.22 pagi tadi.

“Seramai 40 pegawai dan anggota bomba bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dan BBP Karak termasuk anggota sukarela Perting dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak dan merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah di kawasan itu terlalu rapat dan padat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Sani berkata, mangsa pertama iaitu wanita warga emas ditemui pada 2.13 pagi, manakala lelaki OKU berkenaan ditemui pada 2.46 pagi.

“Kedua-dua mangsa didapati terperangkap di dalam kediaman masing-masing sebelum ditemui.

“Seorang lagi mangsa, Chong Theen Sung berusia 56 tahun pula dilaporkan cedera sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut,” katanya.Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Kebakaran itu menyebabkan empat daripada sembilan rumah terbabit musnah sepenuhnya.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 7:59 AM
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sembilan rumah di Kampung Baru Cina Repas, Bentong, awal pagi tadi. -Foto ihsan Bomba